Video https://youtu.be/YFqhSt_6Yjc
Perbahasan YB Wong Hon Wai (Ahli Parlimen Bukit Bendera) semasa bacaan kali Kedua Rang Undang-Undang Francais (Pindaan) 2019 pada 3/12/2019
Perbahasan YB Wong Hon Wai (Ahli Parlimen Bukit Bendera) semasa bacaan kali Kedua Rang Undang-Undang Francais (Pindaan) 2019 pada 3/12/2019
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya turut ingin menyertai perbahasan terhadap Akta Francais 1998 dan perniagaan francais telah mula bertapak di Malaysia pada tahun 1963 apabila A&W memasuki Malaysia dengan outlet pertama di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Itu sejarah yang lama. Malaysia antara negara yang mempunyai undang-undang francais dan negara-negara maju, Australia masih membincangkan proposal untuk perundangan francais. Australia hanya ada code of conduct bagi franchising. Oleh itu, adalah baik kita sudah mempunyai satu undang-undang francais perundangan yang mantap.
Saya ingin merujuk kepada satu tambahan dari segi seksyen 10A iaitu, “Pembaharuan pendaftaran francais”. Sebelum ini tiada dikenakan pendaftaran semula dan pembaharuan pendaftaran. Kali ini di bawah seksyen 10A ini apabila tarikh habis tempoh pendaftaran dan adalah tanggungjawab francais untuk membuat permohonan kepada kementerian untuk membuat pendaftaran dan juga dikenakan satu fi yang ditetapkan.
Sebarang syarikat yang ingin menyertai francais perlu melakukan strengths, weaknesses, opportunities and threats analysis (SWOT) kerana apabila harga francais yang terlalu tinggi maksudnya kena membuat satu pelaburan tetapi juga satu cabaran dari segi risiko perniagaan. Perlu membuat analisa perniagaan sebelum memasuki atau menandatangani apa-apa perniagaan francais. Tadi saya menanyakan jumlah fi yang ditetapkan di bawah pendaftaran francais yang baharu. Boleh dizahirkan berapakah jumlah fi yang ditetapkan supaya orang awam ataupun peniaga-peniaga boleh tahu tentang fi tersebut?
Saya juga lihat fasal 16 yang merujuk kepada seksyen 24, Akta 590 iaitu dirujuk kepada Akta Cap Dagangan 1976. Kita sudah bahas penggal lalu tahun ini, bahawa Akta Cap Dagangan 1976 telah digantikan dengan Akta Cap Dagangan 2019 dan rang undang-undang ini masih rujuk kepada akta lama yang telah dimansuhkan oleh Akta Parlimen tahun ini. Minta pemerhatian dari segi itu.
Saya mengalu-alukan pengenalan ataupun pindaan terhadap Akta Francais ini dan saya meminta supaya juga pada masa depan kementerian boleh seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Kepong tadi perlu lihat kepada sama ada perlindungan terhadap mereka yang ingin menyertai francais, perlindungan terhadap isu-isu Francais Agreement, Distributorship Agreement, Intellectual Properties dan sebagainya supaya peniaga-peniaga di Malaysia tidak terjerumus dalam aktiviti-aktiviti perniagaan francais ataupun dieksploitasikan oleh perniagaan francais tersebut. Saya mohon untuk menyokong.
No comments:
Post a Comment